Sunday, August 29, 2010

Nostalgia merdeka


Sebahagian para pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Johor Jaya 1, Johor tidak ketinggalan melawat Pameran Solo Zulkifli Yusoff di Balai Seni Lukis Negara.


PAMERAN solo bertemakan NegaraKu oleh seniman prolifik Zulkifli Yusoff yang sedang berlangsung di Balai Seni Lukis Negara (BSLN) mengajak masyarakat bernostalgia mengenai detik kemerdekaan dan pengisian selepasnya.
Menghimpunkan pelbagai karya terbaru beliau dalam bentuk lukisan, kolaj, gabungan kepelbagaian bahan dan installasi, Zulkifli yang terkenal dengan suntikan elemen kritikan sosial dalam karyanya, menyifatkan NegaraKu sebagai ungkitan masa silam yang lahir daripada rasa tanggungjawab beliau sebagai generasi yang lahir selepas merdeka.
Lahir pada 1962 di Sungai Limau, Kedah, karya dalam siri Negaraku ialah sebuah katarsis daripada perasaan masa lalu serta keseronokan ketika usia remaja Zulkifli.
Keseronokan itu ditimbulkan di bawah sub-tema seperti Semangat Patriotisme yang melalui lagu-lagu patriotik, mengimbau kenangan Zulkifli bersama ayahnya.
Sub-tema Ekonomi dalam Penyiaran pula mengingatkan peranan radio serta van penyiaran dalam menggalakkan pembangunan negara manakala Bunga Raya Bunga Kebangsaan menjadi bunga yang dijadikan simbol kesepakatan pelbagai kaum di Malaysia.
"Keseronokan itu datang dari pelbagai deria. Ada yang saya lihat, ada yang saya dengar, ada yang saya rasai sendiri termasuklah kenikmatan menunjukkan simbol peace, jelasnya kepada Bernama baru-baru ini.
Keseronokan yang dirasai ketika itu bukanlah berbentuk hiburan semata-mata.
"Mendengar siaran permintaan perajurit dari corong radio dahulu terbit rasa terima kasih terhadap mereka kerana ketika itu negara kita baru sahaja sengsara melalui darurat dan peristiwa 13 Mei. Kemudian mendengar pula siaran yang membantu ke arah Malaysia moden dan pengisian kemerdekaan, seperti panduan kepada petani dan drama radio Fajar di Bumi Permata.
"Saya sangat kagum dengan usaha penyiaran ketika itu. Sangat kreatif dan indah. Dengar radio, orang kampung dapat tau cara bertani, tanaman padi dua kali setahun, bagaimana konflik yang berlaku ketika itu," ujar beliau lagi.
Installasi Aku, ayah dan lagu patriotik pula ialah karya khas yang bukan saja beliau tujukan kepada rakyat Malaysia untuk melihat peranan guru sekitar 70-an di kampung-kampung tetapi juga mewakili perasaan beliau untuk meletakkan ayahnya di satu tempat tinggi di hati beliau.
Terdapat juga karya yang diinspirasi daripada ibunya yang sering memetik kata-kata Hamka dalam mendidik anak, namun pada masa yang sama turut minat membaca majalah hiburan URTV, yang disifatkan beliau keseimbangan yang jarang ditemui kini.
Zulkifli, yang juga seorang pensyarah, turut menyentuh tentang tumbuh-tumbuhan yang mulai dirasakan hilang metaforanya seperti bunga kebangsaan, Bunga Raya.
"Di Tanjung Malim (Perak) tempat saya mengajar ada kedai gunting rambut lama kepunyaan orang India bernama Bunga Raya, terdapat juga Hotel Bunga Raya kepunyaan orang Cina. Saya beranggapan perasaan rakyat Malaysia ketika itu berbangga dengan ikon Bunga Raya. Ini ada kesinambungannya dengan konsep 1Malaysia kita sekarang," jelasnya lagi.
Melalui Bunga Raya, Zulkifli cuba menyebarkan mesej 'bercampurlah kamu seperti dulu. Jangan bergaduh'. Kalau dulu semua boleh guna bunga yang sama, kenapa sekarang tak boleh?'
"Melihat semangat patriotik yang semakin hilang di zaman ini, kita kena fikirkan bagaimana supaya nilai itu diserapkan kembali. Apa yang kita nampak beri kebaikan pada satu ketika dahulu, mungkin boleh dipraktik kembali," katanya.
Bercerita mengenai simbol aman yang digunakan beliau dalam beberapa karya siri NegaraKu, Zulkifli berkata kegembiraan menunjukkan simbol itu semasa zaman kanak-kanaknya dulu, sudah tidak sama dengan zaman sekarang.
"Saya tanya anak-anak dan pelajar saya kenapa buat simbol peace ketika berfoto, mereka jawab tiru stail artis pop Korea. Ketika kecil, kami menunjukkan simbol 'peace' dengan kefahaman yang tinggi tentang kedamaian. Bila lori askar melintas kita tunjukkan simbol peace.
"Walaupun asal simbol peace ini dikaitkan dengan pergerakan hippies ketika itu tetapi kenapa kita tidak boleh ambil satu kefahaman yang universal yang memperjelas simbol itu mengajak kita supaya jangan bergaduh dan berperang. Saya tak anggap kita mengambil yang buruk dari situ," jelasnya.
Tambahnya lagi, sekiranya tidak mengerti apa itu kedamaian bagaimana dapat menghargainya?
"Bila kita faham apa itu damai barulah kita tahu nikmat kedamaian dan merancang sesuatu itu biar sentiasa damai," katanya.
Sebagai seniman dan pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Zulkifli melihat peranannya bukan hanya mendidik tetapi memikirkan bagaimana seni membantu negara bila berkarya.
Ini pameran yang dianggap beliau paling besar dan istimewa sepanjang 20 tahun penglibatannya dalam bidang ini meskipun beliau telah berpameran seluruh dunia.
"Kalau dulu mungkin karya seni hanya lapisannya berkisar keindahannya, kini kita harus pergi kepada sifat yang lebih mikro. Melihat keseimbangan antara keindahan dan isi di dalam. Isi itulah yang akan membantu menganjakkan tamadun dan memajukan negara," jelasnya.
Katanya sudah tiba masanya untuk kita bertanya kepada seniman tempatan terutama generasi muda "apakah manfaat hasil karya kamu terhadap agama, bangsa dan negara?"
"Masyarakat akan semakin lama semakin bijak. Jadi orang tidak hanya akan menganggap pembelian karya seni itu kerana luarannya tetapi sekaligus membeli nilai pemikiran. Itu yang saya anggap mahal. Kalau cantik saja tak jadi.
Pameran 'NegaraKu' yang berlangsung dari 26 Julai hingga 26 September 2010 dirasmikan pada Isnin. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment