Tuesday, August 31, 2010

Nota Rampai SERUM (7): Saya Suka Balai Seni Lukis Negara!

Katalog Kenangan BSLN 1988
Ini seperti satu surat. Saya tulis khusus untuk Balai Seni Lukis Negara (BSLN). Agak peribadi bunyinya, mungkin. Semalam saya menulis sebuah nota yang agak ‘keras’ mengenai 'Pameran Kepada Mu Kekasih' yang sedang berlangsung di BSLN sekarang ini. Namun, saya percaya saya harus menulis seperti itu: kerana itulah yang saya rasa dan nampak dengan jelas. Soal orang setuju atau tidak, suka atau tidak, dengan apa yang saya tulis itu; tidak jadi hal kepada saya. Saya tulis dengan harapan dapat tengok yang lebih baik. Dan surat ini pula saya tulis bukan untuk mengimbangi ‘nada keras’ nota itu, tetapi adalah satu penghormatan (atau tribute) kepada BSLN. BSLN memang bermakna kepada saya dan semua artis Malaysia. Saya suka BSLN!
BSLN,

Di antara tempat yang saya akan pergi jika ke Kuala Lumpur ialah BSLN. Saya melawat BSLN di Jalan Ampang, di Jalan Sultan Hishamuddin dan sekarang di Jalan Tun Razak. Saya mengunjunginya sebagai seorang budak sekolah, seorang remaja, seorang pelajar seni, seorang artis, seorang guru seni, dan sekarang sebagai seorang yang sudah setengah abad usianya. Saya menghabiskan masa berjam-jam di dalam galeri-galeri BSLN; kadang berteman, kadang berseorangan. Saya suka BSLN!

Sebagai seorang artis, karya-karya saya pernah ditolak untuk menyertai pameran di BSLN. Bukan sekali – adalah dua tiga kali. Karya-karya saya juga ada yang diterima masuk pameran, diterbitkan dalam katalog dan penerbitan lain BSLN, dan ada juga yang dibeli oleh BSLN untuk Himpunan Tetap. Di BSLNlah saya dan kawan-kawan, juga artis Malaysia yang lain menerima ujian-ujian awal untuk menjadi seorang artis. Saya suka BSLN!

Sebagai seorang penulis dan kurator kecil-kecilan (sebab belajar sendiri), saya sudah beberapa kali diundang untuk bercakap di dalam oditorium BSLN. Di situlah antara tempat saya belajar untuk bercakap secara terbuka – ada yang saya anggap berjaya dan ada yang tidak. Tulisan-tulisan saya juga pernah diterbitkan dalam katalog-katalog pameran terbitan BSLN. Saya juga pernah menjadi kurator untuk sekurang-kurangnya dua pameran di BSLN, 'Kembara Tenggara: Pameran Karya-karya Baru Pemenang Bakat Muda Sezaman (1997)' dan 'Ulek Rasa: Pameran Artis-artis Terengganu (2006)'. Pada Julai tahun ini juga, saya menjadi kurator sebuah pameran kecil rakan-rakan Faculty of Creative Multimedia, Multimedia University, ‘Shadows on Layers of Meaning’, sempena Inno-Fest 2010 di Galeri Reka, BSLN. Terima kasih atas peluang-peluang itu. Saya suka BSLN!

Sebagai seorang guru pula, saya selalu juga membawa pelajar-pelajar saya ke BSLN untuk mendedahkan mereka kepada berbagai bentuk seni rupa. Saya membawa anak-anak kami dan menerangkan kepada mereka itu ini di galeri-galeri BSLN. Saya juga ada membawa kawan-kawan dari sebuah grup jurukamera amatur yang masih belum bernama ke BSLN, dan mendedahkan mereka kepada seni rupa. Saya banyak belajar dan mengajar di BSLN. Malahan, sebelum kahwin dulupun, saya selalu bertemu-janji dengan Mastura di BSLN! Saya suka BSLN!

Saya pernah bercita-cita untuk menjadi kurator di BSLN. Pada hujung 1980an atau barangkali awal 1990an, saya pernah menghadiri temuduga untuk jawatan itu! Tetapi saya gagal kerana ternyata saya tidak dapat menguasai ‘iklim komunikasi rasmi’ dengan baik – saya malu-malu dengan gagap saya yang pekat lalu tersenyum dan tersengih saja sudahnya! Har! Har! Har! Kegagalan itu tidak mendatangkan apa-apa masalah kepada saya. Saya tetap pergi ke BSLN. Saya suka BSLN!

Dulu, akhir 1980an, BSLN tidak ada ramai kurator. Seingat saya hanya Wairah Marzuki dan Sharifah Fatimah Syed Zubir – itupun kalau saya tidak silap (harap Kak Pah atau sesiapa betulkan jika silap). Pameran-pameran di BSLN ketika itu banyak dikuratorkan oleh Syed Ahmad Jamal, Redza Piyadasa dan T.K Sabapathy. Saya ingat juga kepada pameran-pameran yang dikuratorkan oleh Tamyez Bajuri, Zakaria Ali, Dzul Haimi M Zain dan Zabas. Semua berbekas di hati; saya dapat belajar, mengembangkan pengalaman estetika dan juga etika sebagai seorang artis. Saya suka BSLN!

Sekarang kita sudah satu dekad dalam abad ke 21, BSLN sudah ada ramai kakitangan, termasuk pasukan kurator dan penolong kurator. Bangunan tambahan pun sedang dibina. Saya tidak tahu berapa ramai kakitangan sekarang; ramai yang saya tidak kenal – tapi saya tetap kenal dengan beberapa orang lama. En. Yuarajah dan saya akan tetap bersalaman dan bertanya-kabar apabila bertemu dari sejak di Jalan Sultan Hishamuddin. Kalau tidak silap, saya sudah berkenalan dengan dia sejak di Jalan Ampang lagi. Kemudian ada Yusuf Marsidin seketika, malah Azizan Paiman pun pernah berkerja di BSLN. Saya suka BSLN!

Saya sangat mengharapkan BSLN terus mempertahankan keberadaanya sebagai sebuah institusi seni rupa yang unggul. Saya percaya BSLN mampu mempertahankannya, malah berkembang maju untuk kebudayaan dan peradaban Malaysia. Saya suka BSLN!

Sepanjang dekad lalu, secara sedar atau tidak sedar kadang-kadang, minat saya terhadap kritikan seni dan estetika, juga sastera, telah menjadikan saya seorang penulis. Saya menulis mengenai seni rupa dan budaya amnya. Menulis bermakna juga saya harus memerhati, menganalisa, mengkritik dan menyaran kepada pembaikan; walau tidak semuanya betul atau benar atau tepat belaka. Karya dan pameran di BSLNlah yang menjadi rujukan utama saya. Kerja-kerja dokumentasi pun nampaknya berlaku di BSLN. Saya tiada niat lain selain mahu melihat yang terbaik saja dari BSLN. Saya suka BSLN!

Semoga BSLN sentiasa maju jaya. Saya suka BSLN! Dan saya pasti bukan saya saja yang suka BSLN.

Kalau meniup seruling bambu,
Dibawa berteduh lepaslah letih;
Kalau hidup saling membantu,
Mana yang keruh lekaslah jernih.

24hb Ogos 2010.
Cyberjaya


Catatan: Tsabri Ibrahim merupakan salah seorang penulis seni yang disegani di Malaysia

No comments:

Post a Comment