Tuesday, September 21, 2010

Nota Rampai SERUM (9): Mutan dan Jin di Malaysia pada Tahun 2008

Lim Wei-Ling & Kelvin Chuah (Eds.) (2009). Malaysia 365 Days of 2008: Noor Azizan Rahman Paiman. Kuala Lumpur: Wei-Ling Gallery
 
Mutan dan Jin di Malaysia pada Tahun 2008 atau Paiman dan Jurnal Orang Biasa yang Bergerak Secara Zigzag untuk Mencari Kegemilangan Diri

1 Terima Kasih Paiman
Pertama-tamanya, saya ucapkan terima kasih kepada Paiman (Noor Azizan Rahman Paiman) kerana menghadiahkan monografnya, MALAYSIA 365 DAYS OF 2008, terbitan Wei-Ling Gallery, Kuala Lumpur, 2009, kepada saya. Setelah dibaca dan dilihat akan isinya, maka terpanggillah saya untuk menulis nota ini. Saya pernah menulis tentang Paiman pada tahun 1997, yang diterbitkan dalam Tanpa Tajuk terbitan sendiri, dan kemudiannya diterbitkan semula dalam buku Tanpa Tajuk: Cerita-Cerita Seni Rupa (1), 2009.

2 Monograf Malaysia 365 hari, 2008
MALAYSIA 365 DAYS OF 2008. Hmm… tebalnya 396 halaman tidak termasuk kulit, memuatkan catatan pengenalan oleh Wei-Ling Lim, pengarah Wei-Ling Gallery, tulisan-tulisan Nur Hanim Khairuddin (Hanim), Hasnul J. Saidon (Hasnul) dan Mellissa Kavenagh (Mellissa), pernyataan artis oleh Paiman, catatan ‘curriculum vitae’ Paiman dan penghargaan; selain daripada catatan visual dan petikan teks pilihan dari media yang dipilih-catat-lukis oleh Paiman diatas ‘diari muslim’ (2) atau ‘diari Islamik’ (3) tahun 1429H/2009M itu. Semua tulisan adalah berbahasa Inggeris, kecuali teks pilihan dari media yang berbahasa Melayu, pilihan teks terjemahan dari hadis dan Al-Quran serta doa-doa dalam bahasa Arab yang telah tersedia di ‘diari muslim’ - yang menjadi permukaan pilih-catat-lukis Paiman itu.

MALAYSIA 365 DAYS OF 2008 adalah hasil usaha Paiman memilih teks dari media Malaysia sepanjang tahun 2008. Teks media yang dipilih kebanyakannya adalah dari ucapan atau pernyataan ahli politik, pegawai kerajaan dan juga tokoh masyarakat. (Ya, saya setuju dengan Hanim yang mengaitkan usaha Paiman ini dengan buku kompilasi Amir Muhammad, Malaysian Politicians Say the Darndest Things.(4) ) Paiman kemudiannya melukis makhluk-makhluk ‘mutan dan jin’ (5) pada setiap petikan pilihan hariannya. Seingat saya kalau tidak silap, saya telah bertemu dengan makhluk ‘mutan dan jin’ Paiman ini sejak tahun 1997, semasa pameran dan majlis persandingan beliau yang dinamakan Independent Day di Balai Seni Lukis Negara yang ketika itu berada di Jalan Sultan Hishamuddin. Makhluk ‘mutan dan jin’ Paiman yang saya temui itu berada dalam dunia mereka sendiri (dalam botol? Opps… har har har) – tidak memperdulikan Paiman yang bersanding pada suatu hari di bulan Julai tahun 1997 itu!

3 Mutan dan Jin Paiman
Mutan atau Jin Paiman pada 7 November 2008
… dan begitu jugalah nampaknya dengan mutan dan jin harian tahun 2008 yang dilukis Paiman itu, yang tentunya sudah ‘termutanisasi’ atau ‘dimutanisasikan’. Payah sekali untuk menghubungkan para mutan dan jin harian 2008 dengan petikan teks media harian yang dipilih Paiman itu. Sebagai contoh, apa hubungan seekor mutan atau jin bermata enam berbibir tebal yang tiba-tiba muncul menjengah dari suatu rupa bukit atau busut dengan pernyataan Raja Petra Kamaruddin: I am not a terrorist. I am not a dangerous person. I am just a writer, pada 7 November 2008M / 9 Zulkaedah 1429H? Satira politik? Atau apa? Tidak boleh kah saya cuba mencari hubungan itu?
Lalu secara mudah – semuanya (di antara mutan dan jin dengan pilihan teks media) mungkin tiada hubungan (?) apa-apa kecuali ‘suka’ Paiman saja. Suatu juxtaposition yang memungkinkan apa saja? Keadaan yang tidak menentu? – yang dilapis pula dengan doa-doa Islami, hadis dan petikan ayat Al-Quran? Apakah sebenarnya 365 hari 2008 – yang setiap harinya ada mutan dan jinnya beserta dengan pilihan teks dari media tempatan itu? Hmm… agak mengkagumkan juga untuk saya, memang Paiman ini pandai menimbulkan persoalan.

Secara sepintas, tulisan-tulisan Hanim, Hasnul dan Mellissa dalam monograf itu menggambarkan suatu keadaan atau kondisi posmoden yang berlaku di Malaysia masakini, dengan Paiman sebagai ‘retrospective reporter’ (6) yang berminat untuk menemui pesan-pesan yang terkandung dalam segala macam tanda, petanda, kod, teks atau apa saja hasilan dari masyarakat – yang sedang melalui proses dekontruksi yang akhirnya akan melahirkan ‘zombie-zombie’ yang agaknya dijelmakan melalui mutan dan jinnya: zombie politik, zombie ekonomi, zombie sosial dan tentu juga tidak ketinggalan nantinya, zombie seni rupa (zombie SERUM! Hah!).  Hasnul menyifatkan tindakan Paiman ini sebagai suatu ‘mockery’ kepada iklim politik masakini Malaysia. Sementara Hanim dan juga Melissa menyentuh soal-soal sejarah dan pensejarahan, juga kebanjiran informasi dari media dan hubungannya dengan tindakan Paiman di sepanjang 2008 itu. Memang Paiman ini pandai menimbulkan persoalan!

4 Kemana Kamu Paiman?
Halaman Paiman in Person
… mula-mula mendapat monograf pemberian Paiman itu, saya menyelak mencari pernyataan artis Paiman sendiri sebelum membaca tulisan-tulisan lain. Tulisan-tulisan Hanim, Hasnul dan Mellissa harus dihormati sebagai ulasan kepada tindakan Paiman. Bagaimana dengan Paiman sendiri?
Pernyataan Paiman diletakan dibawah kolum atau bahagian Paiman in Person, halaman 387 dengan gambar Paiman sedang ‘menjual ais-krim’ di suatu sudut berhampiran Fukuoka Asian Art Museum, Fukuoka. Pernyataan Paiman diberi judul ‘The Value of Drawings’ dan ditulis/terbit dalam berbagai jenis dan warna mukataip/font. Saya tuliskan di bawah perkataan-perkataan yang digunakan Paiman, yang menarik perhatian saya dengan huruf besar. Saya membaca:

Mula-mula (perenggan pertama), Paiman bercerita tentang perkembangan dalam aktiviti melukis dengan menggunakan kata DOT (titik), MARK (tanda/kesan), LINE (garisan), DIRECTION (arah), LIFE (kehidupan), SHAPE (rupa), BOUNDARY (sempadan), STRUCTURE (struktur/susunan), POWER (kuasa/tenaga), FORM (bentuk), VALUE (nilai), dan SOCIETY (masyarakat). Kita boleh lihat di sini Paiman mengaitkan aktiviti lukisan dengan LIFE, POWER dan juga SOCIETY, dan disambung pula dengan POWER boleh menjadi korup.

Kemudian, Paiman bercerita tentang HERO (wira), PERFECTION (kesempurnaan), dan FAILURE (kegagalan). Paiman bertanya apakah HERO akan menerima kegagalan? Dia tidak percaya begitu dan dengan sinis mengatakan HERO tidak akan menerima kegagalan (?) kerana (agaknya) HERO tidak akan berbohong kepada diri sendiri.

Terus, Paiman menyebut tentang MEDIA yang digunakan sebagai PROPAGANDA dan permasalahan-permasalahan yang akan timbul berkaitan dengannya. Dan tiba-tiba ada HISTORY (sejarah) dan permasalahannya juga, kembali lagi kepada MEDIA yang kali ini mempunyai nilai-nilai komersial. Dan ada petikan dari IAN HAMILTON yang bercerita tentang PROPAGANDA dan hubungannya dengan patriotisme dam musuh (?).

Terus, Paiman mengutip pula tanggapan LENIN mengenai sejarah yang dikatanya bergerak secara ZIGZAG, tidak lurus. Dan Paiman menggelarkan dirinya sebagai LAYMAN (orang biasa/awam) yang percaya bahawa semua benda atau objek itu dihasilkan secara beralasan (reason).

Terus, Paiman mengutip pula pandangan ALVIN TOFFLER berkaitan dengan imaginasi, dan informasi serta hubungannya dengan POWER.

Kemudian Paiman mengatakan yang idea-ideanya mengenai ART (seni) bergantung kepada GLORY (kecemerlangan/kemasyuran) dirinya sendiri, dan GLORYnya itu adalah JOURNEY (perjalanan/pengembaraan) yang dilaluinya! Paiman juga menyatakan yang dia mencari MEANING (makna).

Terus, Paiman menganggap ART itu adalah mistressnya selama kurang-lebih 20 tahun ini di samping kehidupan bersama keluarganya.

Dan terakhir, Paiman sekali lagi menyatakan bahawa dia adalah cuma seorang LAYMAN bukan THEORIST (Ahli Teori), yang sedang mendokumen sejarah mengikut caranya, yang ditamatkan dengan kata-kata FRANK SINATRA, I did it my way.

Fuh! Memang Paiman ini pandai menimbulkan persoalan!

Banyak sekali perkara yang dinyatakan oleh Paiman melalui pernyataan artisnya di dalam monograf 365 hari itu;
1.     Pengalaman membuat lukisan sambil mengaitkannya dengan kehidupan.
2.     Permasalahan seorang ‘wira’ dengan ‘kesempurnaan’. (Kenapa agaknya ya?)
3.     Permasalahan media, propaganda dan sejarah.
4.     Perjalanan sejarah secara zigzag. (Kenapa agaknya ya?)
5.     Imaginasi dan informasi boleh membentuk kuasa. (Betulkah?)
6.     Kecemerlangan diri sendiri.
7.     Hubungan intim dengan seni.
8.     Secara rendah diri mengaku hanya sebagai ‘orang biasa/awam’ yang merekod atau mendokumen apa yang berlaku menurut media.

Apakah kaitan semua yang saya senaraikan tadi dengan apa yang berlaku selama 365 hari tahun 2008 seperti yang dipilih-catat-lukis oleh Paiman itu?

Nota hujung:
1 Tsabri Ibrahim. (2009). Tanpa Tajuk: Cerita-cerita Seni Rupa. Kuala Lumpur: Tinta Publishers.

2 ‘Diari Muslim’ – terjemahan dari ‘muslim diary’, terma yang digunakan Hanim dalam tulisannya, Media & Politics of History, Memory, Forgetting di dalam MALAYSIA 365 DAYS OF 2008 untuk menamakan jenis diari yang digunakan Paiman sebagai permukaan lukisan-lukisannya.

3 ‘Diari Islamik’ – terjemahan dari ‘Islamic diary’, terma yang digunakan Mellissa dalam tulisannya, 2008: A Strange Odyssey di dalam MALAYSIA 365 DAYS OF 2008 untuk menamakan jenis diari yang digunakan Paiman sebagai permukaan lukisan-lukisannya.

4 Amir Muhammad. (2007). Malaysian Politicians Say the Darndest Things. Petaling Jaya: Matahari Books.

5 ‘Mutan dan Jin’ – terjemahan dari ‘Mutants and Genies’, terma yang digunakan Hasnul dalam tulisannya, Living Hyperview: A Journey across Noor Azizan Paiman’s Surreality di dalam MALAYSIA 365 DAYS OF 2008 untuk menamakan makhluk atau lembaga  yang dilukis Paiman.

6 ‘Retrospective Reporter’ – deskripsi Paiman terhadap dirinya dalam aktiviti pilih-catat-lukisnya selama 365 hari di tahun 2008 itu.

catatan: artikel ditulis oleh Tengku Sabri Ibrahim, seorang penulis yang disegani di Malaysia

No comments:

Post a Comment