Sunday, September 19, 2010

Seni Visual STPM kertas 3 soalan no 2- satu pandangan peribadi

Nota ini saya buat untuk pelajar bernama azifah dari Kota Tinggi Johor yg meminta sedikit pandangan tentang soalan seni visul kertas 3,STPM 2010, harap ianya juga berguna bagi pelajar sekolah yang sewaktu dengannya.

Saya berbesar hati ingin berkongsi sedikit ilmu  bagaimana untuk menambahbaik penghasilan karya seni visual bagi kertas peperiksaan Seni Visual STPM 2010. Ianya dalam konteks soalan no 2. Saya perturunkan soalan tersebut, dan saya cuba menjelaskan berlandaskan soalan serta pemahaman saya sebagai seorang pengarca juga ahli akademik yang terlibat didalam bidang arca. Perlu diingat saranan dan huraian saya ini bukan satu-satunya yang boleh digunapakai. Bermacam lagi pendekatan yang hampir serupa yang boleh dijadikan contoh. Guru-guru anda mungkin lebih arif.

Soalan no 2.
Hasilkan sebuah karya seni visual yang bertemakan “Kesantunan”. Hasil karya anda hendaklah menggunakan teknik batik atau teknik tenunan. Karya tersebut hendaklah menggunakan gabungan beberapa rekaan sendiri motif yang menunjukkan ciri kebudayaan kebangsaan. Persembahan karya adalah dalam bentuk dua dimensi (2D) atau tiga dimensi (3D). Hasil karya dua dimensi (2D) hendaklah berukuran tidak melebihi 40 cm 60 cm. Hasil karya tiga dimensi (3D) pula hendaklah berukuran tidak melebihi 40 cm tinggi, 25 cm panjang, dan 25 cm lebar.


Berlandaskan soalan tersebut saya cuba meringkaskan cara berkarya yang boleh menjadi panduan pelajar dalam mengupas seterusnya menghasilkan sebuah karya seni visual samaada 2D ataupun 3D.
Antara yang telah ditetapkan didalam soalan adalah  1. temanya “Kesantunan”, 2. Teknik iaitu teknik batik atau teknik tenunan.

Saya mulakan dengan langkah 1, dengan peta minda 1"ice beraking" ataupun pemecahan tentang tema “kesantunan”, ianya bergerak dengan mencari makna kata dasar santun dan diperolehi kata kuncinya Halus budipekerti, berbudi bahasa, beradab sopanSaya huraikan kata kunci itu boleh dilihat dari segi fizikal(perbuatan) dan pertuturan. Beberapa contoh perbuatan saya berikan seperti perbuatan bersalaman , memberikan senyuman, duduk bersila, berbaris dalam sesuatu keadaan yang memerlukan ,bertertib  dalam melakukan sesuatu perkara dan seumpamanya. Manakala dari segi tutur kata, saya contohkan dengan berkata jujur, berkias  secara halus dalam memperkatakan sesuatu yg mungkin boleh menyinggung sesorang, tidak berbohong, berbicara dengan lemah lembut, menasihat dan menegur dengan nada yang rendah  dan seumpamanya.

Setelah jelas dan faham makna dan situasi Kesantunan tadi barulah pelajar bergerak untuk memikirkan bagaimana untuk menyampaikan perihal kesantunan yag difahami tadi, khususnya dalam bahasa visual(imej yang boleh dilihat tetapi tidak boleh dibaca). Saya membuat saranan beberapa cara boleh digunakan dengan contoh seperti menggunakan simbol-simbol tertentu contohnya simbol berbaris,atau dengan cara menggunakan metafora atau perlambangan yang mengambarkan perbuatan atau kata-kata yang menunjukkan kesantunan , atau menggunakan imej atau subjek-subjek tertentu, ini kebiasaannya suatu gambaran yang realistik yang boleh dibuat dalam karya-karya 2D seperti catan ataupun cetakan. Contohnya satu suasana  beberapa orang sedang bersalam-salaman di hadapan sebuah masjid. Dalam pemilihan subjek atau imej ini ianya boleh dibahagikan kepada dua iaitu tangible objek/imej, …sesuatu yang boleh dilihat seperti objek songkok, objek buku dll, yang kedua non tangible objek…sesuatu yang tidak boleh dilihat, ianya melibatkan perasaan seperti sedih, marah suka dll…subjek yang seperti ini seringkali memerlukan symbol , ikon atau lambing-lambang tertentu bagi memperjelaskannya…marah boleh digambarkan dengan warna-warna panas umpamanya,manakala kebebasan boleh digambarkan dengan imej burung merpati putih yang terbang bebas. Saya jua mencadangkan penggunaan peribahasa, ikonik ,pepatah, bidalan dalam menyampaikan maksud kesantun dalam karya yang ingin dihasilkan.

Dalam konteks pelajar Azifah , anda telah memilih makan sirih sebagai subjek yang ingin dipaparkan didalam karya. Maka saya jelaskan pendekatan atau cara yang dipilih itu adalah menggunakan metafora/perlambangan..iaitu makan sirih sebagai perlambangan tentang perbuatan maupun tuturkata yang penuh sopan dan santun.

Peta Minda2, olahan idea/perkembangan idea

Setelah  tema dicanai sehingga mendapat kata kunci makan sirih maka dalam peta minda 2 ,saya cuba menghuraikan apa itu makan sirih dari beberapa sudut seperti ianya satu perbuatan, tentang bahan dan alat serta tujuan. Ketiga-tiga pecahan ini di perhalusi lagi dengan pecahan seterusnya yang melihat alat seperti gobek dan kacip manakala bahan yang digunakan untuk menyirih (pemakan sirih) seperti daun sirih, buah pinang, kapur sirih dan gambir. Daun sirih pula mempunyai 4 jenis yang utama iaitu sirih melayu, sirih cina, sirih keling dan sirih udang, ini boleh dijadikan lambang  kehidupan kaum di Malaysia yang hidup aman dan saling berteloransi.Dan proses daun siri tumbuh dengan mulanya menjalar kemudian melilit seterusnya memanjat kejunjungan sehingga kepuncak, saya melihat proses kehidupan daun sirih yang mengikut urutan itu sebagai satu ketertiban yang perlu diikuti oleh manusia, langsung memperlihatkan salah satu cirri-ciri kesantunan. Pecahan bagi tujuan saya jelaskan ianya sebagai satu cara perubatan tradisional, kebanyakan  pengamal perubatan tradisional menggunakan daun sirih dalam proses mereka mengubati pesakit. Contoh yang paling saya suka adalah kunyahan daun sirih  dan disembur kepada penyakit kayap hasilnya amat menakjubkan…mujarab. Sirih juga menjadi simbol adat istiadat sejak zaman dahulu hingga kini..paling ketara dalam majlis perkhawinan, memakan sirih juga sebagai satu tanda menghormati tuan rumah yang di datangi. Di penghujung peta minda saya menyimpulkan imej yang kuat boleh digunakan dalam karya adalah daun sirih ia menjadi dominan dalam memperjelaskan tentang tema kesantunan.

Peta Minda 3  Olahan karya/ Lakaran Idea.

Fokus di peringkat ini adalah daun sirih yang diambil dari pecahan bahan dalam proses memakan sirih. Aktiviti yang disyorkan adalah membuat penelitian yang mendalam tentang daun sirih samaada melihat fizikal daunnya ataupun riwayat hidupnya, seterusnya dihasilkan dalam bentuk visual dengan lukisan analitik, lukisan rentas, lukisan struktur dari pelbagai sudut. Kemudian lakukan proses stylizes dan simplifiy untuk mencipta ‘motif’(untuk 2D) atau ‘bentuk’ (untuk 3D). Saya cadangkan proses menghasilkan lakaran ini boleh dibuat didalam kuantiti yg banyak agar memperolehi  satu motif atau bentuk yang menarik dan berestetik tinggi. Dalam melaksanakan proses ini pelajar harus memahami serta memperhalusi aturan-aturan formal (elemen seni dan prinsip seni). Lakaran akhir yang terhasil seharusnya dapat memandu pelajar untuk kerja-kerja studio (penghasilan karya).


Peta Minda 4-Penghasilan Karya.

Dipenghujung peta minda 3 pelajar harus telah memilih apa jenis karya yang akan dibuat iaitu 2D atau 3D.

Lanjutan dari itu dalam peta minda 4 saya terangkan semula karya-krya 2 D dan 3D. Dalam konteks pelajar Azifah ,  karyanya adalah 3D  Arca. Maka berlandaskan lakaran akhir yang telah diperolehi pelajar akan memulakan menghasilkan karya seni visual yang diminta. Samaada karya itu 2D ataupun 3D perkara asas dalam proses membina karya adalah sama  tetapi berlainan dari segi bahan dan teknik. Pelajar harus melihat persoalan elemen dan prinsip seni, bagaimana penggunaan garisan, rupa, bentuk, ruang, jalinan dan warna begitu juga dengan prinsip-prinsip seni seperti harmoni kontras ulangan dll. Kesemua ini akan diolah dengan sebaik mungkin bagi mendapatkan  karya yang bermutu. Perlu diingat didalam soalan  perihal tentang teknik telah ditetapkan iaitu teknik batik atau tenunan..sedikit kekeliruan tentang makna teknik yang disebut didalam soalan, saya berpendapat teknik batik dan tenunan lebih sesuai bagi kerja-kerja karya 2D manakala bagi kerja-kerja karya 3D teknik batik dan tenunan sesuai sebagai aksesori dalam sebuah arca.
Saya berpendapat sekiranaya Azifah  ingin menghasilkan arca(3D) dengan teknik yang telah diberi, yang paling sesuai adalah arca jenis “soft sculpture”, bahan yang digunakan boleh melibatkan fabrik, benang, tali guni,perca kain dll . Bentuk yang dibina boleh dibantu dengan struktur kayu-kayu yang kecil dan sederhana. Bahan lain mungkin kertas tebal dan keras disamping hiasan-hiasan yg sering terdapat di pakaian. Teknik sulam sesuai untuk membina bentuk yang dibuat. Saya fikir jahitan dan ikatan boleh dijadikan teknik tambahan bagi menghasilkan sebuah arca lembut yang menarik. Saya juga cadangkan kepada Azifah arca juga boleh dibuat secara mobil/gantungan atau arca dinding. Tambahan pula saiz yang ditetap tidaklah begitu besar maka menghasilkan arca dari bahan-bahan lembut amat sesuai. Teknik batik dirasakan tidak perlu apabila telah memilih teknik sulaman( berdasarkan soalan…atau..)


Kesimpulannya seperti biasa  setiap karya akan mempunyai dua bahagian yang paling asas dan utama iaitu  ‘bentuk’ dan ‘isi’. Bentuk melibatkan  aspek luaran, bagaimana sesorang pengkarya menyusun atur elemen dan prinsip seni dalam sebuah karya, ini saya telah terangkan melalui peta minda 3 dan 4.  Manakala isi melibatkan makna tersirat/dalaman, sepertimana yang ditanya oleh Azifah ,ianya lebih berkisar kepada soal makna atau maksud. Perlu diingat maksud atau makna kadangkala tidak begitu ‘straight fowrad’ ianya bersifat abstrak sebagaimana saya menghuraikan tema “kesantunan”. Dalam konteks Arca ,stail yang biasa adalah bercorak semi abstrak.

Akhirnya saya berharap sedikit panduan yang saya beri ini dapat membantu Azifah dan pelajar-pelajar yang lain.

peta minda 1

peta minda 2
peta minda 3
peta minda 4
contoh soft sculpture
 
nota: artikel ditulis oleh rosli zakaria, seorang pengarca kontemporari malaysia

No comments:

Post a Comment