Sunday, August 29, 2010

MOOOO!

Benderang pagi tak lagi mampu mengembangkan hati Mim 1. Dia tak lagi gembira mencicip kopi pahit dan menyuap nasi lagundi hitam ketika sarapan. Malahan dia terasa cukup cemas dan bimbang.
Kalau berlarutan begini, aku boleh jatuh bankrap, kata-kata itu terpalit di fikirannya. Lebih daripada itu dia juga bimbang tekanan darah tingginya akan turut melambung. Bacaan semalam menunjukkan tekanan darahnya berada pada paras 165/95. Sudah menjenguk ke zon bahaya. Tak disangka-sangka penjualan ternakan hidup dan daging segar terhenti secara tiba-tiba. Semua kontrak dari pusat-pusat penyembelihan dibatalkan oleh pelanggan-pelanggan tetapnya. Suasana di ladangnya persis kuburan tua. Senyap dan sunyi. Hinggakan telinganya dapat merakam setiap helaian daun mati yang gugur ke bumi. Lebih menyedihkan, tak seekor pun lembu ternakannya yang berbunyi. Ribuan ternakannya kehilangan suara; yakni bahasa lembunya. Tidak seperti teman-teman lain yang menternak baka-baka import termasuk Droughtmaster dan Brahmin, dia memberi pertaruhan kepada baka kacukan Kedah-Kelantan. Lembu baka tempatan bertubuh kecil dan mudah dijual. Tapi kini semuanya kehilangan suara, baik baka import maupun baka tempatan. Semuanya membisu seribu bahasa. Semuanya tak lagi mengemooo!
Mim 1 menelefon teman-teman penternak. Mereka mengesahkan fenomena yang sama. Semua ladang ternakan dicengkam kesunyian luar biasa. Ladang-ladang ternakan lembu, sama ada feedlot ataupun tenusu tidak akan berwajah seperti dulu lagi sekiranya lembu-lembu tidak kembali bersuara. Bahasa lembu di ladang-ladang itulah yang menggamat dan menceriakan suasana. Pembeli-pembeli, sama ada pemborong, ahli kariah masjid dan surau atau pun individu-individu yang datang mendapatkan bekalan untuk tujuan kenduri kahwin, korban atau akikah tidak tertarik dengan lembu-lembu yang bisu. Lagipun mereka menyangka lembu-lembu itu dihinggapi penyakit, dan boleh menjejaskan kesihatan sesiapa yang memakannya. Mim 1 menyemak dengan teman-teman lain di facebook. Sah, fenomena itu melibatkan semua lembu di seluruh pelosok negara!
Semua lembu sudah kehilangan bahasa!
Tidak ada lagi mooo di waktu pagi!
Tidak ada lagi moooo di waktu petang!
Tidak ada lagi mooo di waktu malam!!
Semua lembu kehilangan mooooo!!
Mim 1 menghubungi temannya, Mim 2, seorang peladang terkenal dan berpengaruh di Putrasaya.
"Aku dapat maklumat di facebook satu taklimat nak diadakan di Putrasaya, betulke?"
"Betul. Khabarnya kerajaan akan mengambil tindakan drastik sebab industri daging negara sudah lumpuh sama sekali," jawab Mim 2, korporat tani, yang juga mantan Ketua Pengarah Pertanian. Teman itu dapat pinjaman RM 20 juta dari Bank Tani sewaktu memulakan ladang ternakan dan pusat penyembelihannya tempoh hari. Nasib orang...dia seperti mengeluh ke dalam diri.
Kata teman korporat itu lagi industri ternakan lembu negara dilanda SKKS.
"SKKS?" Mim 1 terlopong. Sepanjang ingatannya tak pernah dia mendengar penyakit itu menyerang mana-mana ladang ternakan lembu di tujuh benua di dunia. Dia tahu tentang penyakit kuku dan mulut dan lembu gila, yang pernah melumpuhkan industri ternakan lembu di England, tapi SKKS? Dia bingung.
Mim 2 menyambung apabila menyedari Mim 1 kehilangan suara di hujung talian. "Menurut diagnosis pakar lembu di Putrasaya, lembu-lembu negara mengalami Sindrom Kehilangan Kotak Suara."
"Dahsyat tu...penyakit baru ke?"
"Memang, ini kali pertama SKKS direkodkan di dunia. Lembu-lembu di Afrika, India, Cina dan lembu Inggeris tak pernah diketahui mengalami kehilangan kotak suara, maksudku kotak bahasa mereka."
"Tapi kenapa ladang-ladang ternakan lembu penternak Melayu yang paling teruk terkena pukulan SKKS?"
"Entahlah...barangkali kau boleh tanyakan di taklimat itu nanti."
Dia menemui ramai teman-teman penternak di taklimat yang diadakan di sebuah hotel lima bintang di Putrasaya; Mim 4, Mim 5, Mim 6, Mim 7…Mim 100. Di atas pentas Ketua Pengarah Lembu dan beberapa orang saintis lembu dan pakar bahasa lembu menanti ketibaan Menteri Lembu. Penternak-penternak yang dijemput untuk mendengar taklimat dan mendapatkan maklum balas sudah mula gelisah. Ada beberapa orang bersidai di lobi, berborak kosong atau mengasap paru-paru masing-masing, sama ada dengan rokok ataupun cerut.
Sebentar, sebuah pacuan empat roda mewah menjulur di foyer. Di kedua-dua pintu pacuan empat roda dwiwarna, merah dan putih, terpampang gambar kepala lembu bertanduk melengkung, lambang kementerian yang dipimpin YB. Ada akronim, terdiri dari empat huruf, kependekan daripada perkataan-perkataan "Untuk Membela Nasib Orangramai", yang menjadi slogan kementerian.
Penternak
Mim 1 tahu, ada 2020 orang penternak dari pelbagai kaum di seluruh negara. Kebanyakannya terdiri dari orang Melayu. Memang, sejak dulu ramai orang Melayu memilih bidang itu, al-maklum bidang-bidang lain seperti perumahan, industri gas dan petroleum, komunikasi, satelit dan pengangkutan udara serta perkilangan memerlukan modal yang besar. Ramai yang tidak mampu, kecualilah yang ada kabel besar, seperti mantan Ketua Pengarah Pertanian yang memulakan ternakan lembunya di atas kawasan seluas seribu ekar. Ada juga desas-desus yang mengatakan beliau ada pertalian kekeluargaan dengan YB Menteri Lembu. Tapi setakat ini Suruhanjaya Integriti dan Rasuah Nasional (SIRNA) belum memulakan sebarang siasatan ke atas mantan Ketua Pengarah Pertanian. Semasa belum bersara pun, kemewahan dan gaya hidup beliau membuatkan ramai orang, lebih-lebih lagi para penternak yang dipimpinnya, tertanya-tanya. Tapi pada ketika itu penternak-penternak tidaklah marah sangat, cuma mereka merasa sedikit hairan, bagaimana seorang yang hanya memegang jawatan Jusa "B" boleh hidup semewah itu? Tapi kini, apabila lembu-lembu kehilangan bahasa, mereka benar-benar naik angin.
YB bergegas ke pentas, diiringi oleh Ketua Pengarah Lembu dan seorang saintis lembu paling kanan, berkepala botak dan janggut sampai ke dada. Bingkai cermin mata saintis mengingatkan Mim 1 kepada mata burung jampuk di ladangnya yang terkejut apabila terkena silauan lampu picit.
Moooo! Moooo! Mooooooo…!
Bunyi itu menggema di dewan berhawa dingin. Ia disambut dengan gegar ketawa para hadirin. Ternyata ejekan itu datang dari sudut di mana terdapat beberapa orang penternak yang diketuai oleh seorang yang berbauk dan bertopi koboi.
"Sabar, sabar tuan-tuan, kita sedang menghadapi musibah lembu hilang bahasa, harap-harap kita jangan hilang bicara…" pengacara majlis mengambil kesempatan menyindir. Ini meningkatkan kejengkelan hadirin.
Mooo! Mooo!
Dewan bertambah gamat.
"Sabar, sabar…kita harus menghormati YB Menteri Lembu…harap bertenang, saya merayu…" dia mengubah strategi.
Pengacara majlis cuba menenangkan para hadirin. Dia terus menjemput Ketua Pengarah Lembu untuk menyampaikan ucapan aluan.
Ketawa dan ejekan reda sedikit, walaupun masih terdengar ketawa-ketawa kecil di beberapa barisan kerusi di sebelah belakang dewan. Setelah memberikan latar belakang SKKS, yang memang sudah diketahui oleh semua penternak, Ketua Pengarah Lembu menjemput YB Menteri Lembu untuk menyampaikan ucapannya. Ternyata para penternak memang menanti-nanti untuk mendengar apakah langkah drastik yang akan diumumkan oleh beliau.
Mim 1 dan Mim 2 berpandangan sesama sendiri apabila YB Menteri Lembu mengumumkan strategi bagi mengatasi SKKS. Hadirin terpinga-pinga dengan langkah drastik yang bakal diambil oleh Kementerian Lembu.
"Kerajaan akan mendirikan Sekolah-sekolah Kebangsaan Untuk Latihan Lembu, atau singkatannya SKULL di seluruh negara bagi mengatasi musibah yang melanda industri ternakan kita. Sebagai langkah permulaan kita akan membawa masuk 200 guru lembu dari Australia, baka Australian Milking Zebu (AMZ)," YB Menteri Lembu mengumumkan.
Seluruh dewan sunyi seketika, sebelum meletup dengan pekikan dan ejekan-ejekan dari para penternak.
Moooo! Mooo!
Menteri Moooo!!
Menteri Moooo!
Di tengah-tengah kebisingan itu Mim 1 memberanikan diri untuk bangun. YB Menteri turut mengambil kesempatan untuk cuba menenangkan keadaan yang mula meruncing.
"Minta perhatian, minta perhatian, ada soalan nampaknya…bagi kawan kita tu kesempatan…" YB tidak ada pilihan, melainkan memberi ruang kepada para penternak yang mula naik berang.
"Saya ingin tahu, YB, kenapa baka dari Australia? Setahu saya AMZ lebih sesuai untuk ladang tenusu. Ternakan saya semuanya untuk daging. Lagipun bukankah AMZ diketahui agak ganas?"
"Keturunan banduan..!! Keturunan banduan!!" jerit sebahagian dari penternak.
Jurugambar-jurugambar dan pemberita-pemberita dari berbagai akhbar sibuk dengan kamera mereka. Ada yang mengangkat telefon bimbit tinggi di atas kepala masing-masing untuk mendapatkan gambar-gambar yang lebih dramatik.
"Oh, itu manusianya, bukan lembunya…lagipun itu cerita lama…"
"Tapi, kalau manusia berfikiran macam lembu, bolehlah dianggap lembu juga…" jerit seseorang di barisan tengah.
"Ha, itu aku setuju!" jerit pula seorang berbadan gempal yang duduk bersebelahan dengannya. Untuk menyelamatkan keadaan yang sudah mulai ribut, pengacara cepat-cepat mencelah, mengucapkan terima kasih kepada YB Menteri Lembu, dan meminta saintis kanan berkepala botak dan berjanggut panjang sampai ke dada tampil ke rostrum untuk memberikan penjelasan.
"Diftong yang menyangkut bunyi "mooo" berasal daripada morfologi bahasa Inggeris, ini yang kita kena betulkan," Ketua Pengarah Lembu memperjelas isu yang sedang didepani.
Program
Program membawa guru-guru lembu dari Australia rupanya dilaksanakan dengan amat pantas. 200 guru lembu menjalankan tugas di merata ladang lembu di seluruh pelosok negara, mengajar kumpulan-kumpulan lembu di kampung-kampung, termasuk lembu pawah kerajaan. Anehnya masalah lembu kehilangan mooo bukannya pulih, malahan bertambah serius. Hilang bunyi mooo timbul pula bunyi-bunyi lain yang pelik. Pemilik-pemilik ladang, besar dan kecil, dan penternak kecil-kecilan di kampung-kampung tidak dapat menerima perubahan terbaru itu. Lembu masih tidak laku dan kos ternakan semakin meningkat.
"Kita kena bawa kes ini ke kementerian," Mim 1 mengusulkan kepada Mim-mim lain. Semua setuju. Lalu Mim 1 serta beberapa orang wakil yang dilantik bergegas ke Kementerian Lembu di Putrasaya.
Sewaktu Mim 1 melintasi jalan tanah merah di ladangnya untuk keluar ke jalan besar menuju Putrasaya dia mendengar betapa kelam-kabut bunyi di seluruh ladang. Dia dan peladang-peladang lain tidak tahu kenapa boleh terjadi sampai begitu. Semua lembu mereka di bawah bimbingan guru lembu Australia tidak lagi mengemoo, tapi sebaliknya mengedoh pula.
Seluruh ladang bingit dengan bunyi itu.
Dooh! Dooh! Dooh!
Doooohhhh!
Guru-guru lembu yang diharap memperbetulkan diftong lembu-lembu Mim 1 dan semua penternak lain juga sudah tidak mengemoo, tetapi sebaliknya mengok pula.
Ngok! Ngok! Ngok!
Ngoook! Ngoook!
Ngokkkkkkkk!!
Dan apabila kedua-dua bunyi itu bertembung, gegendang telinga Mim 1 bagaikan tercabut dari kepalanya.
Dooh! Dooh! Dooh!
Doooohhhh!
Ngok! Ngok! Ngok!
Ngoook! Ngoook!
Ngokkkkkkkk!!
Doo! Ngok! Dooh!
Ngokkk! Dohhhhh!
Dohhhhh!
Ngokkkkk!
Sebaik sampai di Kementerian Lembu, mereka tambah terkejut. Mereka disambut oleh Pengarah SKULL, oleh kerana Ketua Setiausaha Lembu, Ketua Pengarah Lembu dan Ketua Penolong Pengarah Lembu berada di London sejak beberapa hari lalu.
"Apa hal?" tanya Mim 1, seakan menyangka pemergian mereka ke London ada kaitan dengan musibah lembu tidak mengemoo. Telahannya tepat. Dan mereka terpempan dengan penerangan Pengarah SKULL selanjutnya.
"Mereka sedang menguruskan kemasukan 300 guru lembu dari United Kingdom. Rombongan diketuai oleh Menteri Lembu. Saya difahamkan sebahagiannya dipilih dari baka British White dan sebahagian lagi dari baka English Longhorn."
Mim 1 dan rombongan wakil penternak terkulat-kulat. Apakah 200 guru lembu Australia yang sudah tidak lagi mengemoo, tetapi mengok, dan lembu-lembu penternak Melayu sudah bertukar mengedoh tidak memberi sebarang pengajaran kepada pembuat polisi? Nampaknya pegawai-pegawai di Kementerian Lembu tidak mampu membuat diagnosis dan analisis yang lebih tepat. Mim 1 dan wakil-wakil penternak benar-benar kecewa. Dalam perjalanan pulang Mim 1 terfikir tentulah ada orang-orang yang akan tidur di atas duit sebaik guru-guru lembu dari United Kingdom mendarat di Pelabuhan Kelang nanti.
Senja itu Mim 1 memberhentikan jipnya berhampiran sempadan rimba yang menabiri kawasan ladang. Dia mematikan enjin jip dan memandang ke arah gunung. Sebaik dia mengeluarkan celepa tembakau dari kocek seluar, dia terdengar suatu suara yang lembut menyapanya dari arah rusuk kiri. Dia berkalih dan terpempan melihat seorang tua berserban, berjanggut dan berjubah putih tercegat di situ. Dia tidak kenal, malahan tidak pernah melihat orng tua itu di kawasan ladangnya.
"Kenapa tak cari di ulu?" tanya orang tua.
"Cari apa?"
"Guru yang lebih afdal…"
"Di ulu ada guru?" Mim 1 masih terpinga-pinga.
"Ya. Tapi dia sudah tua dan tidak lagi dihargai, lalu lari ke ulu, nun jauh di sebalik gunung-gunung," lelaki tua itu mengarahkan telunjuk kanannya ke arah pergunungan. Ada hikayat lama tiba-tiba melintas di benak Mim 1: Datuk Bendahara menjemput Laksamana Hang Tuah yang merajuk di Ulu Melaka?
Ya benar, tidak ada jalan lain, kena jemput guru tua di ulu.
"Ya, baka tulen yang berasal dari Sungai Melayu di Tanah Andalas."
"Maksud orang tua, bahasa ibunda?"
Orang tua tidak menjawab. Dia hanya merapatkan kedua-dua bibirnya, seakan menyimpulkan senyuman.
"Ayuhlah," ujarnya, dan mula melangkah.
Spontan Mim 1 merasakan seperti ada muzik merdu, bergulung-gulung datang dari arah rimba. Dia memandang ke bibir orang tua. Apakah itu benar-benar senyuman, ataupun sebuah mooo?

No comments:

Post a Comment